Monday 9 April 2012

Penyakit Jantung




         Serangan jantung adalah merupakan punca utama yang menyebabkan kematian terutamanya kepada lelaki. Kita perlu mengetahui apakah faktor yang mendorong seseorang menghidapi penyakit jantung. Ia mungkin dapat mengurangkan risiko daripada anda terdedah kepadanya. Mungkin selama ini apa yang kita amalkan di dalam kehidupan seharian tanpa disedari adalah punca untuk menghidap penyakit ini.

          Antara faktor yang menjadi punca penyakit jantung adalah kesesakan. Mungkin sebelum ini kita tidak tahu bahawa kesesakan adalah punca untuk seseorang menghidapi penyakit jantung. Ia menyumbang sebanyak 8% daripada orang yang menghidap penyakit ini. Sekiranya kita selalu terdedah kepada kesesakan, cuba mencari jalan untuk mengelakkannya dengan cara menghirup udara segar selepas waktu bekerja.

          Selain itu, faktor penyakit jantung ialah senaman dilakukan secara mendadak.  Senaman sememangnya adalah satu perkara yang baik untuk kesihatan. Tetapi, sekiranya ia dilakukan secara mendadak, ia akan meningkatkan risiko untuk kita menghidap penyakit jantung. Hasil daripada kajian juga menunjukkan bahawa senaman yang dilakukan secara mendadak menyumbang sebanyak 6% terhadap punca penyakit ini. Mungkin ia disebabkan ramai yang masih tidak tahu mengenainya. Lakukan senaman secara berperingkat dan teratur.

          Seterusnya pencemaran udara turut menyumbang kepada faktor penyakit jantung. Udara yang tercemar juga mampu menjadi punca untuk seseorang menghidap penyakit jantung. Walaupun ia adalah suatu perkara yang sukar untuk dikawal, tetapi kita boleh mencuba untuk mengelakkannya dengan mengurangkan aktiviti ke tempat-tempat yang pencemarannya agak tinggi seperti dibandar-bandar dan sebagainya.
       
          Akhir sekali punca penyakit jantung ialah emosi yang kerap terganggu. Ketidakstabilan emosi seseorang juga boleh menjadi punca terhadap penyakit jantung. Hasil kajian juga menunjukkan bahawa orang yang keadaan emosinya negatif menyumbang sebanyak lebih daripada 7% terhadap penyakit ini. Emosi yang tidak stabil akan meningkatkan kadar pengeluaran hormon adrenalin, kadar degupan jantung, dan kelekitan sel darah merah dan jika kesemunya digabungkan, ia akan menjadi punca penyakit jantung.

           Kesimpulannya, terdapat pelbagai faktor yang dapat menyumbang kepada penyakit jantung. Oleh itu, semua masyarakat seharusnya lebih berhati-hati dalam kehidupan seharian mereka untuk mengelakkan diri dari menjadi mangsa penyakit jantung.

4 comments: